Thursday, July 22, 2010

NILAI MURNI DAN PENGAJARAN

Mimi ialah bendahari kelas Enam Murni. Pada setiap minggu, Mimi akan
mengutip duit daripada murid-murid kelasnya untuk dimasukkan ke dalam
tabung kelas. Baru-baru ini, Mimi telah ditugaskan untuk menguruskan tabung
khas yang ditubuhkan oleh kelasnya untuk membantu seorang murid yang
menjadi mangsa kebakaran. Mimi meminta setiap murid menderma duit atau
barang keperluan. Pada suatu hari, Mimi telah berkunjung ke sebuah kedai
beg. Mimi berkenan dengan salah sebuah beg lalu membelinya menggunakan
duit tabung kelas. Mimi berpendapat bahawa dia boleh memulangkan duit
tabung kelas setelah dia meminta wang daripada ayahnya.

Cadangan Jawapan

Kita hendaklah menjadi seorang yang bertanggungjawab apabila diamanahkan
duit daripada murid-murid kelas untuk dimasukkan ke dalam tabung kelas. Kita juga
hendaklah menjalankan tugas tersebut dengan baik. Selain itu, sebagai rakan sekelas
kita hendaklah memberikan kerjasama kepada rakan yang bernasib malang dengan
menderma duit. Kita haruslah berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan.
Kita tidak boleh menggunakan wang tabung untuk kegunaan sendiri kerana sikap
tersebut menunjukkan kita tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.