Sunday, July 11, 2010

GURU KREATIF PELAJAR AKTIF

Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia (BM), berbagai-bagai pendekatan dan kaedah boleh digunakan. Tidak ada satu kaedah yang paling baik dan sesuai untuk semua situasi pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru perlu memilih kaedah yang difikirkan paling berkesan untuk sesuatu pelajaran yang telah dirancang. Walau bagaimanapun, satu prinsip asas yang lazimnya diberi perhatian adalah sesuatu pengajaran itu haruslah bergerak daripada yang mudah kepada yang kompleks, daripada yang konkrit kepada yang abstrak, daripada yang dekat kepada yang jauh dan daripada yang telah diketahui kepada yang belum diketahui.
Begitu juga dengan teknik pengajaran, guru seharusnya memilih teknik yang sesuai dengan kebolehan pelajar. Guru patut memikirkan bagaimana sesuatu pelajaran itu dapat disampaikan dengan cara yang menarik dan dapat mewujudkan motivasi yang tinggi supaya pelajar dapat mengikutinya dengan penuh minat dari awal hingga akhir pelajaran. Untuk menarik perhatian pelajar, pelbagai teknik boleh digunakan. Teknik-teknik itu bergantung pada jenis kemahiran bahasa yang hendak diajar.
Di samping itu, matlamat pengajaran dan pembelajaran BM iaitu untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri dalam urusan harian, pendidikan dan pekerjaan hendaklah diberi keutamaan.
Untuk mencapai matlamat tersebut, perkara-perkara yang berikut haruslah diberi perhatian, iaitu:
1. Kemahiran Bahasa:
- mendengar
- bertutur
- menulis
2. Organisasi Kurikulum:
- interpersonal
- maklumat
- estetik
3. Sistem Bahasa:
- tatabahasa
- kosa kata
- peribahasa
- ejen
- sebutan/intonasi
4. Komponen Kesusasteraan Melayu:
- cerpen/novel
- puisi baharu
- puisi tradisional
- drama
- prosa tradisional
5. Pengisian Kurikulum:
- ilmu
- nilai
- patriotisme
- kemahiran berfikir
- kemahiran belajar
- kemahiran teknologi maklumat & komunikasi
- kajian masa depan
- kecerdasan pelbagai
- pembelajaran konstruktivisme
- pembelajaran kontekstual
- pembelajaran masteri
- akses kendiri
Kebijaksanaan guru adalah mengolah agar pelajar bukan semata-mata diajarkan menjadi pengguna bahasa yang baik tetapi jauh daripada itu mereka juga harus dilatih menjadi pelajar yang berupaya “mencipta”. Oleh itu, pendekatan “Guru Kreatif Pelajar Aktif” harus dilaksanakan dengan memanfaatkan bahan rangsangan dan bahan rujukan daripada majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pendekatan “Guru Kreatif Pelajar Aktif” ini sebenarnya sesuai dengan kehendak pengajaran dan pembelajaran BM KBSM. Berdasarkan pengalaman dengan menggunakan pendekatan ini, pelajar didapati ikut terlibat dengan bersungguh-sungguh dalam proses P & P tanpa rasa jemu dan bosan. Di samping itu, objektif yang dirancang dan yang hendak dicapai pada akhir pengajaran biasanya mudah dicapai. Selain itu, kemahiran berbahasa dapat dimanfaatkan dan unsur-unsur pengetahuan, ilmu, dan nilai murni dapat diterapkan.
Yang berikut merupakan beberapa contoh modul pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan pendekatan “Guru Kreatif Pelajar Aktif”:
a. Memanfaatkan ayat dan frasa yang indah
b. Pemahaman: Bukan sekadar menjawab soalan
c. Meramalkan watak dan perwatakan
d. Meneruskan cerpen
e. Menukarkan cerpen kepada komik
f. Menukarkan komik kepada skrip drama
g. Menukarkan komik kepada cerpen
h. Menukarkan drama kepada cerpen
i. Menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah dan sebaliknya
j. Menulis ulasan cerpen
k. Melagukan sajak
l. Menterjemahkan puisi kepada bentuk grafik/lukisan
m. Menulis ringkasan
n. Merumuskan petikan
o. Menjawab teka silang kata
p. Membina teka silang kata
q. Menukarkan rencana/gambar kepada pantun
r. Menukarkan rencana/gambar kepada syair
s. Menukarkan rencana/gambar kepada sajak
t. Menukarkan rencana/gambar kepada lirik lagu
u. Melengkapkan teks
v. Meringkaskan karangan
w. Menulis berita
x. Meramalkan kesudahan komik
y. Rahsia di sebalik menyalin petikan
z. Menguji tahap pembacaan pelajar
Dalam keluaran-keluaran yang akan datang, penulis akan menerangkan secara terperinci contoh pelaksanaan setiap aktiviti yang dinyatakan di atas.