Wednesday, July 7, 2010

CONTOH MENULIS PENDAHULUAN

Di negara kita, kemalangan jalan raya dikatakan berlaku hampir pada setiap hari.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan di jalan raya.

(1) (AR)Kemalangan atau kecelakaan di jalan raya merupakan tragedi yang telah banyak mengorbankan nyawa dan harta benda manusia. (AR) Hampir setiap hari media cetak, menyiarkan berita tentang kemalangan di jalan raya. (AR) Daripada segi statistik, negara kita pernah mencatat kadar kemalangan yang tertinggi di dunia yang berlaku pada setiap hari. (AA)Oleh yang demikian, pihak yang berkenaan hendaklah mengambil langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.

Pendahuluan Jenis Suasana
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana kediamannya oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.

Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya mendengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari suatu bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sebarang tindakan. Namun saya gagahkan semangat dan cuba melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Pengenalan Jenis Peribahasa
Tulis satu rencana yang bertajuk “Perpaduan Asas Kemajuan”untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda.

Orang Melayu sememangnya kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah “Bukit sama-sama didaki, lurah sama-sama dituruni”, “Hati gajah sama-sama dilapah hati kuman sama-sama dicecah” dan banyak lagi. Semua peribahasa yang dinyatakan tadi sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.